Thursday 31 October 2013

KENAPA HATI KITA MATI?


100_0968
Hati adalah organ paling utama dalam tubuh manusia dan ia nikmat paling agung diberikan Allah. Hati menjadi tempat Allah membuat penilaian terhadap hamba-Nya. Pada hatilah letaknya niat seseorang.
Niat ikhlas itu akan diberi pahala. Hati perlu dijaga dan dipelihara dengan baik agar tidak rosak, sakit, buta, keras dan lebih-lebih lagi tidak mati. Sekiranya berlaku pada hati keadaan seperti ini, kesannya membabitkan seluruh anggota tubuh manusia. Akibatnya, akan lahir penyakit masyarakat berpunca daripada hati yang sudah rosak itu.
Justeru, hati menjadi amanah yang wajib dijaga sebagaimana kita diamanahkan menjaga mata, telinga, mulut, kaki, tangan dan sebagainya daripada berbuat dosa dan maksiat.
Hati yang hitam ialah hati yang menjadi gelap kerana bergelumang dengan dosa. Setiap dosa yang dilakukan tanpa bertaubat akan menyebabkan satu titik hitam pada hati. Itu baru satu dosa. Bayangkan bagaimana kalau 10 dosa? 100 dosa? 1,000 dosa? Alangkah hitam dan kotornya hati ketika itu.
Perkara ini jelas digambarkan melalui hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang melakukan satu dosa, maka akan tumbuh pada hatinya setitik hitam, sekiranya dia bertaubat akan terkikislah titik hitam itu daripada hatinya. Jika dia tidak bertaubat maka titik hitam itu akan terus merebak hingga seluruh hatinya menjadi hitam.” (Hadis riwayat Ibn Majah)
Hadis ini selari dengan firman Allah bermaksud: “Sebenarnya ayat-ayat Kami tidak ada cacatnya, bahkan mata hati mereka sudah diselaputi kotoran dosa dengan sebab perbuatan kufur dan maksiat yang mereka kerjakan.” (Surah al-Muthaffifiin, ayat 14)
Hati yang kotor dan hitam akan menjadi keras. Apabila hati keras, kemanisan dan kelazatan beribadat tidak dapat dirasakan. Ia akan menjadi penghalang kepada masuknya nur iman dan ilmu. Belajar sebanyak mana pun ilmu yang bermanfaat atau ilmu yang boleh memandu kita, namun ilmu itu tidak masuk ke dalam hati, kalau pun kita faham, tidak ada daya dan kekuatan untuk mengamalkannya.
Dalam hal ini Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian selepas itu, hati kamu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi. Pada hal antara batu-batu itu ada yang terpancar dan mengalir sungai daripadanya dan ada pula antaranya yang pecah-pecah terbelah lalu keluar mata air daripadanya. Dan ada juga antaranya yang jatuh ke bawah kerana takut kepada Allah sedang Allah tidak sekali-kali lalai daripada apa yang kamu kerjakan.” (Surah al-Baqarah ayat 74)
Begitulah Allah mendatangkan contoh dan menerangkan batu yang keras itu pun ada kalanya boleh mengalirkan air dan boleh terpecah kerana amat takutkan Allah. Oleh itu, apakah hati manusia lebih keras daripada batu hingga tidak boleh menerima petunjuk dan hidayah daripada Allah.
Perkara paling membimbangkan ialah apabila hati mati akan berlaku kemusnahan amat besar terhadap manusia. Matinya hati adalah bencana dan malapetaka besar yang bakal menghitamkan seluruh kehidupan. Inilah akibatnya apabila kita lalai dan cuai mengubati dan membersihkan hati. Kegagalan kita menghidupkan hati akan dipertanggungjawabkan Allah pada hari akhirat kelak.
Kenapa hati mati? Hati mati disebabkan perkara berikut:
* Hati mati kerana tidak berfungsi mengikut perintah Allah iaitu tidak mengambil iktibar dan pengajaran daripada didikan dan ujian Allah.
Allah berfirman bermaksud: “Maka kecelakaan besarlah bagi orang yang keras membatu hatinya daripada menerima peringatan yang diberi oleh Allah. Mereka yang demikian keadaannya adalah dalam kesesatan yang nyata.” (Surah al-Zumar ayat 22)
* Hati juga mati jika tidak diberikan makanan dan santapan rohani dengan sewajarnya. Kalau tubuh badan boleh mati kerana tuannya tidak makan dan tidak minum, begitu juga hati.
Apabila ia tidak diberikan santapan dan tidak diubati, ia bukan saja akan sakit dan buta, malah akan mati akhirnya. Santapan rohani yang dimaksudkan itu ialah zikrullah dan muhasabah diri.
Oleh itu, jaga dan peliharalah hati dengan sebaik-baiknya supaya tidak menjadi kotor, hitam, keras, sakit, buta dan mati. Gilap dan bersihkannya dengan cara banyak mengingati Allah (berzikir).
Firman Allah bermaksud: “Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan mengingati Allah. Ketahuilah! Dengan mengingati Allah itu tenang tenteramlah hati manusia.” (Surah al-Ra’d ayat 28)
Firman-Nya lagi bermaksud: “Hari yang padanya harta benda dan anak-anak tidak dapat memberikan sebarang pertolongan, kecuali harta benda dan anak-anak orang yang datang menghadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera daripada syirik dan munafik.” (Surah al-Syura ayat 88-89)
Tanda-tanda hati mati
Menurut Syeikh Ibrahim Adham, antara sebab atau tanda-tanda hati mati ialah:
1. Mengaku kenal Allah SWT, tetapi tidak menunaikan hak-hak-Nya.
2. Mengaku cinta kepada Rasulullah s.a.w., tetapi mengabaikan sunnah baginda.
3. Membaca al-Quran, tetapi tidak beramal dengan hukum-hukum di dalamnya.
4. Memakan nikmat-nikmat Allah SWT, tetapi tidak mensyukuri atas pemberian-Nya.
5. Mengaku syaitan itu musuh, tetapi tidak berjuang menentangnya.
6. Mengaku adanya nikmat syurga, tetapi tidak beramal untuk mendapatkannya.
7. Mengaku adanya seksa neraka, tetapi tidak berusaha untuk menjauhinya.
8. Mengaku kematian pasti tiba bagi setiap jiwa, tetapi masih tidak bersedia untuknya.
9. Menyibukkan diri membuka keaiban orang lain, tetapi lupa akan keaiban diri sendiri.
10. Menghantar dan menguburkan jenazah/mayat saudara se-Islam, tetapi tidak mengambil pengajaran daripadanya. Semoga dengan panduan yang di sampaikan itu akan dapat kita sama-sama mengambil iktibar semoga segala apa yang kita kerjakan akan diredai Allah SWT.
Menurut Sheikh Ibni Athoillah Iskandari dalam kalam hikmahnya yang berikutnya;
Sebahagian�daripada tanda mati hati itu ialah jika tidak merasa dukacita kerana tertinggal sesuatu amal perbuatan kebajikan juga tidak menyesal jika terjadi berbuat sesuatu pelanggaran dosa.
Mati hati itu adalah kerana tiga perkara iaitu;
* Hubbul dunia (kasihkan dunia)
* Lalai daripada zikirullah (mengingati Allah)
* Membanyakkan makan dan menjatuhkan�anggota badan kepada maksiat kepada Allah.
Hidup hati itu kerana tiga perkara iaitu;
*Zuhud dengan dunia
* Zikrullah
*Bergaul atau berkawan dengan aulia Allah.

Program anjuran bersama UTM dan Penduduk kampung Marjunit Benut (Lestari...

Tuesday 29 October 2013

PERINGATAN BUAT ISTERI

Peringatan buat para isteri

Pada suatu petang, saya mendapat panggilan daripada hospital menyatakan seorang ibu muda mempunyai mata merah yang sakit dan tidak dapat membuka mata beliau. Setelah memeriksa beliau, saya mendapati, beliau mengalami sakit mata selamat 5 hari dan tidak beransur pulih dengan ubat yang diberi oleh tiga doktor sebelum itu. Semasa memeriksa mata beliau, saya dapati, selain daripada jangkitan virus dan yang menghairankan saya, selalunya infeksinya hanya melibatkan konjunktiva atau bahagian mata yang putih. Bagi pesakit ini, bahagian kornea atau bahagian mata yang hitam yang penting untuk melihat telah koyak dengan agak banyak sehingga menyebabkan beliau rasa amat sakit dan tidak dapat melihat dengan jelas. Saya terpaksa meletak ubat dan menampal kedua mata beliau dan memasukkan beliau ke dalam wad untuk pemerhatian rapi. Setelah melihat keadaan yang agak teruk bagi jangkitan yang selalunya mudah dikawal, hati kecil saya bertanya apakah hikmah ataupun rahsia di sebalik kejadian ini. Dengan kuasa Allah, saya menyedari bahawa beliau agak kasar dengan suaminya. Setelah dua hari di dalam wad dan beransur pulih, saya menasihati beliau secara tidak langsung tentang pentingnya sebagai seorang isteri solehah kita harus menjaga tiga perkara suami kita.

1. Mata beliau - sentiasa kelihatan cantik dan menawan dengan menjaga rupa paras dan berat badan.
2. Hidung beliau - sentiasa berbau wangi dan menjaga kebersihan mulut dan nafas supaya selesa apabila suami bercakap berdekatan dengan kita.
3. Telinga beliau - sentiasa mengeluarkan kata-kata yang manis dan pujian serta penghargaan, dan jangan sekali-kali kufur nikmat.

Beliau seterusnya memberitahu saya sebelum berlakunya sakit mata itu, beliau telah merajuk dengan suaminya. Beliau nampaknya insaf ketika memberitahu kisah ini dan mengakui bahawa setiap kali beliau berlaku kasar terhadap suaminya, tentu sesuatu perkara negatif akan berlaku terhadap beliau. Saya meneruskan menasihati beliau bahawa dalam kehidupan kita bahawa redha Allah bergantung kepada redha suami dan sebagai seorang isteri, hidup kita fokus untuk jadi isteri solehah. Dan jika mempunyai profession, jadi professional mukminah. Setelah berjumpa dengan beliau hari ni, beliau menyatakan bahawa beliau memang selalu memberitahu suaminya bahawa fokus beliau adalah untuk menjadi isteri solehah dan setelah peristiwa ini, semangat beliau untuk mencapai cita-cita ini bertambah kuat.

Saya bersyukur kerana di dalam setiap pesakit yang saya jumpai dapat mempelajari sesuatu dan menambah lagi kesyukuran apabila hati kita suka pada kebaikan dan takut pada kejahatan.

Thursday 17 October 2013

HATI TETAP SAMA

Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku.
Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang sangat kecewa.  Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?
Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah ‘rules of life” – sunahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini … maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.
Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?
Jika itulah yang selalu bermain-main di dalam fikiran Itu petanda tidak puas hati. Suara berontak jiwa terhadap ketentuan Allah. Sedarlah bahawa kita hamba maka buatlah kerja kita sebagai. Tuhan dengan ketentuan-Nya. Jadi, apabila diuji… katalah aku ini hamba Allah. Layaklah aku diperlakukan seperti hamba… Terusik hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.
Apa yang Allah tentukan kadangkala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama kelamaan kelihatan positif pula… Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita sangka buruk kadangkala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Katalah, kita ingin berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha… Kita sudahpun beruasaha, tapi gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?
Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam pernigaan. Kita ingin keuntungan besar, tetapi yang kita dapat hanya sedikit….
Namun, kerana kegagalan itu kita berusaha lebih gigih… akhirnya beberapa tahun kemudian keuntungan kita meningkat. Sedangkan ada orang lain yang pada mulanya mendapat keuntungan yang besar… tetapi keuntungan tidak bertambah. Mengapa? Kerana dia mula relaks, over confident sedangkan kita terpaksa bertungkus-lumus akibat kegagalan yang pertama. ?
Bijak dan baik sungguh aturan Allah.   Benarlah kata bijak pandai, kegagalan itu anak tangga kejayaan. Contoh lain, ubat. Ubat itu pahit… kalau kita tidak faham, kita luahkan semula. Pahit, tidak tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita faham dan yakin itu ubat, maka kita telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita sihat. Begitulah kita dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif akhirnya jika kita pandai dan bijak menanganinya. Jadi, dalam hidup kita harus belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan segera dirungutkan… Sering ada kejayaan, kemanisan yang lebih indah menanti selepasnya.
Dalam dunia hari ini ada kelompok yang kuat berusaha tetapi longgar ingatannya kepada takdir Allah. Dan ada pula golongan yang seolah-olah kuat kepercayaannya kepada takdir Tuhan hingga melupakan usaha ikhtiar. Kita mesti bebaskan diri daripada dua ektrem itu. Ekstrim pertama, bergantung kepada takdir kurang berusaha. Ini tidak betul kerana Allah ada peraturan-Nya… yang dipanggil sunnahtullah.
Dalam sunnahtullah, sesuatu perkara itu ada sebab dan akibatnya (cause and effect). Untuk lulus kita perlu belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak akan lulus… kerana sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak bolehlah kita hendak berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum air penawar sahaja. Ini  tawakkal tidak berbekal namanya.
Manakala golongan kedua pula kuat berusaha tanpa bergantung kepada takdir. Dia percaya pada usaha ikthiarnya sahaja, lansung tak bergantung kepada kudrat dan iradat  Allah. Ini salah. Kerana, usaha kita itu walau bagaimana hebat sekalipun tidak akan memberi kesan jika Allah tidak mengizinkan-Nya.
Justeru jika dia berjaya, ia akan jadi orang yang sombong, lupa diri kerana disangkanya kejayaan itu dari kepandainya. Manakala kalau dia gagal pula, dia akan kecewa, dia putus asa. Jadi, berjaya pun rosak. Gagal pun rosak. Jadi, buat golongan ini apapun hasil usahanya, kedua-duanya merosakkan!
Sebaik-baiknya kita berusaha sungguh-sungguh dan kemudian bertawakkal – berserah kepada Allah. Kata orang, hujung akal, baru tawakkal. Kalau beginilah sikap kita, bila berjaya kita syukur. Kita tawadduk. Kita tidak sombong.  Sebab kita yakin walaupun kita telah berusaha, tetapi Allahlah yang memberi kejayaan kita.
Sebaliknya, kalau kita gagal pula… kita tidak sakit jiwa. Sebab kita yakin Allah-lah yang menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha, jadi bila digagalkan juga… tentu ada hikmah yang tersembunyi. Kembalilah kita kepada ujian hidup seperti yang diperkatakan pada awal tadi… ya kita hamba!
Ada kalangan manusia yang apabila berjaya dia mengatakan, “ ini semua hasil usaha saya…” Wah sombongnya. Sebaliknya jika gagal dia mengatakan, “semua ini sudah takdir…”Tidak sayugianya kita berkata demikian. Sebenarnya, apabila kita berjaya, itu takdir Allah. Kalau kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.
Jika kita katakan, kalau berjaya kerana kita, tetapi bila gagal kerana Tuhan… Itu tidak beradab dengan Allah. Seolah-olah kita lebih bijak daripada Allah.  Dengan kata-kata yang demikian, kita merobek-robekkan sifat kehambaan kita. Bukankah Islam mengajar kita, mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah apabila berjaya. Dan mengatakan Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita gagal?
Ya, syukur dan sabar inilah pakaian kita. Dengannya, dapat atau tidak dapat, jadi atau tidak jadi, hati tetap sama…kita tetap memiliki dan dimiliki Allah!

Petikan dari Genta Rasa