Sunday 8 December 2013

HATI YANG HIDUP QALBUN SALIM

Ketahuilah bahawa, hati yang disifati hidup ialah hati yang dipanggil Qalbun Salim, yakni hati ini benar-benar bersih, sihat dan cantik kerana sifat-sifat ini telah menyatu dan berdarah daging dalam dirinya. Oleh itu, diri hamba itu diperintah untuk menyahut seruan Allah swt dan RasulNya agar dengan tindakan demikian dapat memperbaiki keadaan diri hamba itu sendiri. Sehingga hati memperolehi maqam yakin dan bersih daripada sifat-sifat kotor, keji dan sifat-sifat tercela yang lain. Hendaklah hambaNya sebagai pemilik hati mengetahui bahawa seruan dan panggilan Allah swt dan RasulNya itu adalah benar.
Kedudukan Qolbun Salim juga bermaksud hati yang bersih dan selamat daripada pelbagai jenis syahwat yang menyalahi perintah dan larangan Allah swt. Hati ini juga bersih dan selamat daripada pelbagai perkara syubhat yang bertentangan dengan hukum dan ketetapanNya. Hati ini juga selamat daripada melakukan penghambaan kepada selain daripadaNya. Hati ini selamat daripada pemutusan hukum selain RasulNya, bersih dalam mencintai Allah swt dan sentiasa berhukum dengan hukum RasulNya. Hati yang bersih akan wujud ketakutan hanya untuk TuhanNya dan hati ini hanya mengharapkan wajahNya sahaja. Hati ini juga sentiasa bertawakal dan menyerahkan seluruh jiwa raganya hanya kepadaNya dan untukNya semata-mata. Hati yang bersih sentiasa menghinakan diri di hadapanNya. Semua seruan daripada Allah dan RasulNya adalah menjadi wajib bagiNya. Inilah hati bagi seorang berjiwa dan bersifat hamba. Hati hambaNya ini sentiasa dihujani petunjuk dan cahaya-cahaya ilmu daripadaNya walaupun hambaNya itu di uji dengan pelbagai jenis ujian. Inilah sifat Qolbun Salim sepertimana firmanNya,
Maksudnya : "Hari yang padanya harta benda dan anak-pinak tidak dapat memberikan pertolongan sesuatu apapun,. Kecuali (harta benda dan anak-pinak) orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera (dari syirik dan penyakit munafik);". Surah as-Syu`ara` ayat 88 dan 89.
FirmanNya lagi,
Maksudnya : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Surah at-Taghobun ayat 11.
FirmanNya lagi,
Maksudnya : Ketika ia mematuhi perintah Tuhannya dengan hati yang suci murni. Surah as-Soffat ayat 84.
Ketahuilah, kewajiban atas diri pada setiap hamba-hambaNya menyahut seruan Allah swt dan RasulNya. Menyahut seruanNya itu sama seperti menyinarkan hati dengan cahaya daripada cahayaNya. Hati ibarat seperti rumah, sekiranya rumah itu berpenghuni maka akan nampaklah kehidupan di dalamnya dan sekiranya tidak, maka akan rosak dan nampaklah kematian di dalamnya. Menyahut seruan Allah swt dan RasulNya dengan sentiasa bersedia dan melaksanakan ketaatan merupakan penghuni hati. Barangsiapa yang lebih banyak persediaan dan perlaksanaan ketaatannya, maka akan semakin hiduplah hatinya.

"Ya Allah, anugerahilah kami hati yang sentiasa berpaut padaMu".

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.