Monday 9 December 2013

JANTUNG KITA HATI KITA



Jantung, merupakan enjin pada anggota tubuh manusia mahupun haiwan. Kerana ia adalah aset yang terpenting pada kehidupan dunia kita dan kehidupan akhirat.
Secara sainsnya, jantung berada dalam tubuh manusia terletak sebelah kiri sedikit dari tengah dada, dan di belakang tulang dada (stemum). Ia diselaputi oleh kantung yang dikenali sebagai perikadium dan dikelilingi oleh peparu.
Secara purata, jantung orang dewasa mempunyai berat 300-305g. Dan ia terdiri daripada empat ruang, dua atrium di atas dan dua ventrikel di bawah.
Jantung (enjin) kereta hanya berfungsi untuk menggerakkan kenderaan semata. Manakala jantung manusia bukan sekadar menggerakkan tubuh, akan tetapi pekerjaan dan tanggungjawabnya jauh lebih besar daripada jantung (enjin) kereta yang kita lihat.
Apakah yang dilakukan oleh jantung pada diri kita..? Memisahkan darah dan mengepam darah secara biologinya. Namun,secara fikrah islaminya bagaimana..?
Semasa kita berada di dalam perut ibu, jantung telah pun berfungsi terlebih dahulu. Dan ketika kita telah keluar dari perut dan hidup seperti orang lain, jantung tetap istiqomah berdegup, berfungsi.
Dan bila nanti, ia akan mati apabila kita mati. Persoalannya kenapa jantung berdegup, dan terus berfungsi..?
Sedangkan kita tidak pernah sesekali pun meminta dan menyuruh jantung melakukan hal seperti itu. Dan jika kita meminta jantung untuk berhenti, ia tidak akan berhenti sama sekali. Jantung ingkar arahan kita. Kenapa..?
Berbanding dengan jantung(enjin) kenderaan. Kita yang perlu menghidupkannya. Dan kita juga yang mematikannya. Ia terjadi atas tindakan kita secara manualiti.
Disinilah yang memperlihatkan kita bahawa, jantung itu berkhidmat bukan kerana kita. Tetapi jantung yang berada dalam badan kita ini, ia berkhidmat pada siapa yang menciptakannya.
Setiap degupan itu terus-menerus tanpa henti, seolah-olah jantung kita sedang asyik dengan zikirnya. Menyebut nama Tuhannya. Memuji nama Tuhannya. Mencintai nama Tuhannya.
Ia menunjukkan bahawa jantung itu mengenali akan Tuhannya berbanding dengan diri kita. Jantung taat, patuh, dan setia pada Allah SWT. Kita pula ingkar, khianat, dan tidak peduli pada Allah SWT. Kan..?
Hei, siapa yang menciptakan jantung buat diri kita? Siapa yang memberikan jantung buat diri kita?
Dengan meneliti jantung, kita akan dapati bahawa, Allah SWT menciptakan ia dengan kebijaksanaanNya. Siapakah yang boleh reka cipta sehebat Allah SWT..? Siapa..? Dan siapa..?
Sekiranya kita telah ketahui bahawa ia datang daripadaNya, hendaklah kita cuba sedaya upaya memeliharanya dengan sebaik mungkin.
Kita diwajibkan untuk menjaga ia dan menjadikannya baik dengan bersungguh-sungguh. Ini kerana, ia adalah bahagian tubuh manusia yang paling besar bahayanya, paling kuat pengaruhnya, paling sukar dan pelik masalahnya dan paling halus untuk memperbaikinya.

Jantung kita ialah hati kita.

Nabi Muhammad s.a.w bersabda:
Sesungguhnya dalam jasad manusia terdapat segumpal darah yang apabila keadaannya suci murni, maka akan sucilah juga seluruh anggotanya. Jika keadaannya rosak, akan rosak jugalah seluruh anggota badannya. Ketahuilah, itulah yang dikatakan hati.” [Riwayat Bukhari dan Muslim]
Ia diibaratkan sebagai sepohon pokok dan bahagian lain pula diibaratkan sebagai dahan pokok itu. Dapat dilihat di sini bahawa pohon merupakan pelindung bagi dahan dan cabang-cabangnya.
Oleh itu, baik atau rosaknya cabang-cabang itu adalah bergantung kepada pohonnya. Di sini juga menjelaskan tentang kepimpinan dengan erti lain adalah leadership.
Berapa ramai di antara kita yang menelaah buku berkenaan kepimpinan sebelum menelaah hati sendiri..?
Abu Yazid al Busthami berkata, “Aku mengubati dan memperbaiki hati selama sepuluh tahun. Demikian juga lisan dan nafsuku, sepuluh tahun juga aku memperbaikinya. Di antara ketiga-tiganya, hatilah yang paling sukar untuk dibaiki.”
Di antara penyebab kenapa hati menjadi kronik adalah, dengan banyak bercakap, banyak makan, banyak tidur, banyak melakukan perkara yang sia-sia dan tiada kena mengena dengan Allah SWT! Maka hati akan dicemari dengan titik-titik dosa yang berwarna hitam sehinggakan ia mampu membuatkan hati kita mati, dan tidak lagi berfungsi.
Ini bahaya. Kerana apabila hati telah mati, mendengar nama Allah SWT pun tiada rasa. Dan perbezaan antara orang yang hidup dan orang yang mati adalah, orang yang mengingati Allah
SWT dan orang yang melupai Allah SWT. Kita diingatkan supa sentiasa mengingati Allah SWT semasa kita bersendirian mahupun berjemaah. Seperti Rasulullah s.a.w.
Baginda s.a.w sentiasa mengingati Allah SWT. Semasa mahu tidur, semasa bangun tidur, semasa menyucikan diri, semasa memakai pakaian, semasa makan, semasa memakai sandal, semasa berjalan, semasa ziarah, semasa bercakap, semasa menyampaikan amanah, semasa memberi khutbah, semasa solat, semasa berjual beli, semasa perang, semasa selepas perang, semasa sakit, semasa sihat, semasa menghadapi sakaratul maut.
Semasa menarik dan menghembus nafas pun. Semuanya dilakukan kerana mengingati Allah SWT dan semuanya adalah keranaNya.
Tambahan pula, kita insani yang sering lemah, alpa, lupa, dan leka ini, sangat memerlukan nasihat. Nasihat yang mengingatkan, menyedarkan.
Sebab nasihat itu adalah sebahagian daripada agama. Kita sentiasa memerlukannya untuk memperteguhkan diri daripada ancaman-ancaman dunia, syaitan, dan juga nafsu.

Jantung kita ialah hati kita.

Hati manusia adalah tempat pandangan Allah SWT. Ia merupakan tapak semaian iman, tempat bertunas dan menjalar ke seluruh anggota badan dalam bentuk amalan yang merupakan bunga atau buah daripada apa yang telah tertanam dalam hati.
 Hati manusia adalah tempat yang telah dipilih oleh Allah SWT sebagai wadah ataupun tempat bagi fitrah, akal dan hikmah. Hati manusia pula ialah raja bagi seluruh anggota badan. Ia merupakan sumber pergerakan dan tindakan.
Oleh itu, berhati-hatilah dalam menjaga hati. Mari kita sama-sama renungi kalam nasihat sahabat mulia Rasulullah s.a.w yang mengandungi hikmah.
Sayidina Ali k.w berkata, “Manusia ketika hidup di dunia semuanya tidur(mimpi), bila mati baru mereka terjaga(tersedar).”
Justeru, ia bergantung pada diri kita sendiri. Sama ada mahu terus bermimpi, atau berjaga.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.